Pilih kawasan waktu solat

Pilih negeri dan kawasan anda mengikut zon JAKIM.

Pilihan disimpan dalam pelayar ini sahaja. Waktu menggunakan waktu Malaysia.

Sumber: JAKIM e-Solat · MYT (UTC+8)
Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan Jata Negeri Pahang Masjid Gemilang Pahang

Cari dalam laman web

Sejarah

/
Maklumat Korporat

Sejarah

Masjid Sultan Ahmad 1 adalah Masjid Negeri Pahang yang terletak di pusat bandar Kuantan, Pahang. Nama masjid ini mengambil sempena nama KDYMM Almarhum Sultan Ahmad al-Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali (23 Mei 1836 – 9 Mei 1914) yang merupakan Raja Bendahara Pahang ke-6 dan pengasas Kesultanan Pahang Moden yang diwarisi hingga hari ini.

Rancangan untuk mendirikan sebuah masjid di daerah Kuantan telah dimulakan pada tahun 1937 dan bagi mendapatkan peruntukan, beberapa lot tanah telah dijual dengan harga $17,000.00. Di samping itu, usaha-usaha telah dijalankan untuk mengutip derma dari orang ramai dan hasilnya sejumlah $20,000.00 berjaya dikumpulkan. Kesemua hasil derma dan hasil jualan tanah ini kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Amanah Raya sebagai simpanan. Namun cita-cita untuk membina masjid ini tergendala oleh kerana meletusnya Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1946, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk mengumpul dana bagi pembinaan masjid dan akhirnya berjaya mengumpul derma sebanyak $1,670.00. Pada tahun 1957, usaha membina masjid ini telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan masjid yang pada asalnya ditaja sebagai Masjid Daerah telah ditukar menjadi Masjid Negeri kerana perpindahan ibu negeri Pahang di Kuantan pada 27 Ogos 1955.

Akhirnya pembinaan masjid ini telah dimulakan pada tahun 1962 bagi menggantikan masjid kayu lama di Wall Street (Jalan Mahkota sekarang). Bangunan masjid ini yang berbentuk seperti kapal terbalik, boleh memuatkan seramai 1,500 jemaah. Selesai pembinaannya, kos yang diperlukan bagi masjid ini telah mencecah 1 juta Ringgit. Ianya telah dibuka dengan rasmi oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah pada 28 Ogos 1964.

Namun masjid lama Sultan Ahmad 1 ini tidak mampu bertahan lama. Disebabkan oleh masalah struktur kubah yang runtuh, telah menyebabkan bumbung masjid ini sering bocor dan keadaan semakin sukar apabila tiba musim tengkujuh. Kerja pembaikan berkali-kali menyebabkan satu keputusan dibuat untuk membina sebuah masjid baharu pada tahun 1992.

Masjid baharu Sultan Ahmad 1 akhirnya dibina semula di kawasan tapak 190,000 kaki persegi. Rekacara masjid telah dirancang dengan membina 4 buah menara setinggi 180 kaki dan dua kubah berlainan saiz serta mengekalkan nama asalnya. Kompleks masjid ini mempunyai sebanyak 29 buah bilik dan dipasang permaidani dengan keluasan 18,396 kaki persegi; sementara kawasan solat tanpa permaidani berkeluasan 41,741 kaki persegi.

Masjid baharu Sultan Ahmad 1 ini telah disempurnakan perasmiannya oleh cicitnya sendiri; KDYMM Almarhum Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (Sultan Ahmad 1).